BUKIT MERTAJAM: "Jika ada pelawaan untuk saya menjadi calon saya bersedia pertimbang secara serius untuk bertanding sebagai calon bagi mana-mana kerusi Parlimen yang kosong dalam masa terdekat," demikian kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Tegas Annuar, kesediaan berbuat demikian hanya jika dipelawa daripada mana-mana pihak yang masih mahu melihat beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Secara prinsipnya, bekas pemimpin kanan UMNO itu tidak akan sesekali menawarkan diri serta memaksa dirinya untuk dicalonkan kerana itu bertentangan dengan pendirian politiknya.

"Saya telah berkhidmat dan menjadi Ahli Parlimen selama lapan penggal, saya rasa tempoh itu sudah mencukupi, tetapi jika rakyat masih percayakan dan mahukan saya bertanding, saya akan mempertimbangkannya secara serius.

“Tetapi untuk ke depan dan memaksa diri untuk (dicalon atau bertanding) itu bukan cara saya, tanpa kedudukan politik saya masih boleh menyumbang dalam pelbagai cara " kata beliau ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama ahli serta kepemimpinan MN Zon Utara, di sini, malam tadi.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan kembali semula ke pentas politik dan menjadi calon sekiranya enam kerusi Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melompat parti dikosongkan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menjadi ahli Pas pada 10 Jun tahun lalu selepas dipecat daripada UMNO selepas menyertai parti keramat itu sejak 1979.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ia selepas enam Ahli Parlimen Bersatu didapati mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.