AYER KEROH: Kerajaan menegaskan pendirian untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 secara menyeluruh dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang sekadar mahu meminda peruntukan undang-undang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi menjamin kebebasan hakiki mahasiswa dan memastikan tiada lagi undang-undang baharu yang diperkenalkan untuk mengongkong pergerakan golongan itu di kampus.
Jelas beliau, undang-undang sedia ada negara sudah memadai untuk mengawal salah laku jenayah umum tanpa memerlukan akta khas yang menyekat idealisme mahasiswa seperti yang dimulakan sejak tahun 1974.
"Saya nak umumkan sekarang, kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya nak jelaskan bahawa saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.
"Ada kebimbangan kononnya bila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu diperkenalkan yang juga mengongkong dan menyekat. Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.
Anwar yang juga Presiden PKR menjelaskan, mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang jenayah umum sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, mencederakan orang lain, mahupun menipu dalam peperiksaan.
"Saya tidak bermaksud melonggarkan peraturan tatatertib jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan.
“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa," tegas beliau lagi.