KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai golongan masyarakat.

Bagi Hafiszudin Fadil, 32, beliau berharap kerajaan yang dibentuk ketika ini mampu menangani kos sara hidup yang membebankan rakyat terutama peniaga.

"So far kita ada Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kan, maka untuk tahun depan apa yang dia boleh bagi dekat kita? Sebab kos sara hidup tinggi kan.

"Mana patut dia boleh cover tolong rakyat, dia tolong rakyat lah. Just kita orang meniaga barang-barang mentah ini especially telur ke tepung ke, so benda macam itu kalau boleh tolong rakyat," katanya.

Mengulas mengenai senarai jemaah Kabinet yang diumumkan, bagi Hafiszudin, beliau percaya kesemua menteri yang dilantik mempunyai pengalaman serta latar belakang pendidikan yang mampu membawa Malaysia ke hadapan.

"So far barisan Kabinet yang Datuk Seri Anwar pilih boleh pakai lah, saya rasa semua okay sebab semua yang ada pendidikan, semua pemimpin berpengalaman jadi kita harapkan tahun depan mereka boleh buat better untuk Malaysia," katanya lagi.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

Azman Zainal, 62, yang juga usahawan pula berpendapat, pelantikan kesemua barisan Kabinet itu sesuai dengan keadaan politik Malaysia ketika ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pada saya patut lah sebab merangkumi semua negeri, parti sebab tiada mana parti pun dapat majoriti. Jadi tidak boleh dia (pemimpin) bercakap dia lebih kuasa, jadi nampak macam itu bagus.

"Maknanya sekarang ini dia lebih kepada Perdana Menteri kita untuk 'move on' dan pentingkan rakyat. Bila rakyat senang, rakyat tak fikirkan pun pasal pemimpin.

"Sekarang rakyat tidak boleh nak cari makan, jadi dia pun mesti kacau pemimpin. Pada saya barisan (Kabinet) itu tak kira Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Datuk Seri Mohamad Hasan, semua tidak ada masalah," katanya ketika ditemui di ibu negara.

Kabinet Kerajaan Perpaduan | Pengumuman Kabinet Kerajaan Baharu oleh Perdana Menteri


Lain pula nada Awang Kamarul Ariffin Awang Tengah, 45, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dimana dia lebih mahu melihat kemampuan setiap menteri selepas dilantik.

"Pendapat peribadi saya rasa tak, not the best tapi kita tengok lah macam mana. Tengok dua, tiga bulan, itulah.

"Tak yang terbaik tapi nak buat macam mana, kita nak ada kerajaan nak ada Perdana Menteri jadi tak jadi juga," katanya.

Mengulas mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri buat pertama kali diberikan kepada wakil Borneo, Datuk Seri Fadillah Yusof, tambah Awang Kamarul Ariffin, ia satu permulaan yang baik demi kemaslahatan Sarawak dan Sabah.

"Ya, bagus juga saya rasa boleh lah, Fadillah Yusof memang satu watak cukup berpengalaman," katanya lagi.