Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membebaskan semua banduan di penjara dan bukan hanya bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia dilihat lebih baik daripada usaha pembebasan hanya seorang ahli politik demi perjuangan PPBM sendiri.

"Pendirian Muhyiddin adalah akan bekerjasama dengan banyak pihak untuk membebaskan Anwar daripada penjara.

"Kalau itulah kehendak dan pendirian Muhyiddin, elok sahaja Muhyiddin berusaha untuk membebaskan semua banduan di Malaysia ini.

"Jangan hanya Anwar sahaja, cuba bebaskan semua banduan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.

BACA: Sokong bebas Anwar, Muhyiddin disifat main drama - Penganalisis politik

BACA: Belum masanya untuk bincang bebas Anwar - Dr Mahathir


Sebelum ini, beberapa penganalisis politik berpendapat sokongan pembebasan bekas ketua pembangkang berkenaan oleh Muhyiddin menyimpang daripada agenda perjuangan penubuhan parti baharu itu.

Ada juga penganalisis berpendapat, tindakan Muhyiddin itu sebagai strategi parti baharu itu untuk menarik minat orang ramai selain isu lama yang diperjuangkan parti pakatan pembangkang untuk kepentingan politik semata-mata.

BACA: Perlukah Tun Mahathir memohon maaf?

Bagaimanapun, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan masanya belum tiba untuk membincangkan perjuangan membebaskan Anwar.

Tegas Dr Mahathir, agenda yang dinyatakan Muhyiddin baru-baru ini tidak dapat dijanjikan dan hanya akan dipertimbang sekiranya parti itu menakluki kerajaan.