KOTA KINABALU: Beberapa lagi wakil rakyat dan ahli Parti Warisan (Warisan) dijangka meninggalkan parti itu dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu disahkan Ketua Bersatu Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

"Sebenarnya ramai yang sudah berhubung dengan kita tapi mereka masih lagi ragu-ragu. Jadi saya menyeru kepada mereka, mari kita sama-sama kerajaan, jika ada empat tahun ini, kita bangunkan kawasan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Datuk Dr Yusof Yacob di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Yusof hari ini menamatkan spekulasi dan khabar angin bahawa beliau bertindak keluar parti Warisan dan menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan GRS.

Selain itu, mengulas mengenai tindakan Yusof itu, Isnin berkata, ia merupakan tindakan tepat dalam usaha untuk bersama-sama dengan kerajaan membangunkan dan membantu kebajikan rakyat di Sabah.

Isnin yang juga ADUN Klias berkata, sudah sampai masanya untuk wakil rakyat pembangkang membuang ego dalam politik demi kepentingan rakyat.

"Rakyat sekarang ini dalam kesusahan terutama sekali dalam kita menghadapi pandemik, terutama rakyat di kawasan luar bandar, seperti Sipitang dan Sindumin. Kawasan saya Klias pun luar bandar.

"Rakyat memerlukan bantuan dan semestinya mereka minta pada wakil rakyat. Jadi kalau wakil rakyat tidak boleh bantu rakyat, buat apa wakil rakyat itu," katanya lagi.