Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Halimey Abu Bakar sebagai sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengumumkan perkara itu berkata Halimey, 46, merupakan anak tempatan.

"PRK DUN Seri Setia kali ini akan menggunakan buat pertama kali logo rasmi Pakatan Harapan. Saya minta pengundi DUN Seri Setia sekali lagi memberi peluang kepada calon kita dalam PRK ini," katanya ketika mengumumkan calon PH di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dr Wan Azizah berkata terdapat 53,492 pengundi di DUN Seri Setia.

BACA: Halimey Abu Bakar diumum sebagai calon PRK DUN Seri Setia

Halimey yang sudah berumahtangga dan mempunyai tiga anak serta dibesarkan di Kampung Lindungan di bawah DUN Seri Setia itu merupakan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Bekas Timbalan Setiausaha PKR Selangor itu yang berkelulusan Diploma Pengurusan Profesional mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan upacara dan protokol majlis rasmi kerajaan dengan menjadi pengacara untuk pelbagai majlis.

Pada Rabu, PAS menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor Dr Halimah Ali sebagai calon mereka bagi PRK itu.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK ketiga diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, 9 Mei lalu, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia sebaliknya memberi laluan kepada PAS meletakkan calonnya pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong yang juga PRK kedua selepas PRU14.

Pada 4 Ogos lalu, PRK pertama melibatkan DUN Sungai Kandis, juga di Selangor, menyaksikan PH mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru berdepan BN dan calon Bebas.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

--BERNAMA