KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya Datuk Seri Erwan Mohd Tahir memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak akan menjejaskan bahagian itu, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata akar umbi dan kepimpinan Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan susulan tindakan Erwan, jawatan ketua bahagian itu kini dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian Fathul Azam Hashim.

"Tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Putrajaya kerana beliau telah pun meletakkan jawatannya pada 10 Okt tahun lepas setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Bekas Ketua Bersatu Putrajaya kembali sertai UMNO, zahir sokongan kepada Ismail Sabri

Semalam, media memetik Erwan sebagai berkata beliau telah keluar dari Bersatu dan kembali menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta.

-- BERNAMA