Ringkasan AI
- Pembangkang menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai 'belanjawan pilihan raya' dan mempersoalkan pelaksanaan serta keadilan pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen.
- Ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan perbincangan untuk menyelaraskan pendirian dan isu yang akan dibangkitkan semasa perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen.
- Shahidan Kassim menekankan keperluan peruntukan untuk rakyat memerlukan, termasuk pelajar, ibu tunggal, anak yatim, pesara dan skim khas untuk graduan menganggur.
KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai 'belanjawan pilihan raya', dengan mempersoalkan pelaksanaan perancangan kerajaan serta isu keadilan dalam pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, berkata beberapa pengumuman dalam belanjawan itu perlu dinilai berdasarkan keupayaan kerajaan melaksanakannya, terutama mengambil kira pencapaian peruntukan dan projek yang diumumkan pada tahun sebelumnya.
"Pembangkang akan meneliti sejauh mana perancangan Belanjawan 2026 yang dibentangkan tahun lalu sudah dilaksanakan, termasuk mengenal pasti halangan yang menyebabkan sasaran ditetapkan tidak tercapai," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini pada Jumaat.
Kata Awang, perbezaan antara perancangan dan pelaksanaan perlu diberi perhatian supaya pengumuman dalam Belanjawan 2027 tidak sekadar menjadi janji tanpa pencapaian yang sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang dijangka mengadakan perbincangan pada Ahad ini bagi menyelaraskan pendirian serta meneliti perkara yang akan dibangkitkan ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mempersoalkan aspek keadilan dalam pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen, termasuk dakwaan wujud perbezaan layanan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
"Peruntukan berkenaan sepatutnya turut memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, termasuk pelajar, ibu tunggal dan anak yatim," ujarnya.
Shahidan turut membangkitkan keperluan membantu pesara berdepan peningkatan kos sara hidup, selain mencadangkan skim khusus untuk graduan menganggur bagi memberi mereka peluang memperoleh pengalaman kerja dan kemahiran.