Skip to main content

Politik

Bersatu masih dalam gabungan PN di Perlis

KANGAR, 5 Jun -- Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menjawab soalan pengamal media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada hari ketiga Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra hari ini.
Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan sebarang keputusan berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis, kata Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

PADANG BESAR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan sebarang keputusan berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, buat masa ini, Bersatu dalam konteks Perlis masih berada dalam gabungan PN selagi mana tiada sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan.

Beliau berkata, setiap wakil rakyat Bersatu juga turut berpegang kepada watikah pelantikan di bawah PN dan terikat dengan Akta Lompat Parti.

"Kedudukan Bersatu di Perlis masih dalam PN jadi keputusan belum dibuat di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sampai hari ini pun saya rasa kita berpegang kepada perinsip watikah kita adalah Perikatan Nasional.

"Kita masih terikat, ahli-ahli Bersatu ADUN Bersatu dan juga Parlimen masih terikat dengan Akta Lompat Parti dan kita akan buat keputusan setelah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata beliau.

Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Bersatu di Perlis susulan perkembangan semasa parti itu bersama gabungan PN di peringkat pusat.

Bulan lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, parti itu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Muhyiddin berkata, gabungan baharu berkenaan antara lain turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut dilaporkan berkata, kedudukan Bersatu sebagai ahli PN tergugur dengan sendiri apabila Muhyiddin mengumumkan membentuk gabungan baharu tersebut.

Abu Bakar berkata, secara kesuruhannya, beliau melihat Bersatu perlu mengkaji semula beberapa tindakan termasuk melibatkan isu penyingkiran ahli dan hubungan dengan parti-parti kompenan gabungan itu.

"Bersatu perlu mengkaji semula beberapa tindakan termasuk isu penyingkiran dan isu-isu lain di mana isu hubungan yang penting sekali Bersatu perlu cari langkah untuk mengembalikan hubungan antara parti komponen dalam perikatan nasional," ujar beliau.

Tambahnya, pucuk pimpinan Bersatu berkemungkinan mempunyai perancangan bagi meneroka kerjasama lain namun perkara itu terletak kepada suasana politik semasa.
 

Must Watch Video

Advertisement