Skip to main content

Politik

Bersatu sedia guna logo sendiri jika tiada kebenaran guna logo PN – Muhyiddin

https://www.sinarharian.com.my/article/784694/berita/politik/bersatu-sedia-guna-logo-sendiri-jika-tidak-dibenar-guna-logo-pn---muhyiddin
Muhyiddin bersama barisan kepimpinan Bersatu pada Majlis Pelancaran Jentera Bersatu di SLF Ballroom Bakri Muar, pada Ahad. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan menggunakan logo sendiri sekiranya tidak mendapat kebenaran untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut beliau, keputusan muktamad berhubung penggunaan logo sama ada di bawah parti atau gabungan hanya akan dibuat melalui persetujuan bersama kepimpinan PN.

“Ada yang bertanya logo apa akan digunakan. Kita bercadang guna logo PN tetapi ia tertakluk kepada kelulusan, termasuk keperluan watikah yang perlu ditandatangani Pengerusi PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera PRN Johor ke-16 di Bakri, pada Ahad.

Hadir sama Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Sebelum ini, pada 16 Jun, Muhyiddin dilaporkan menyatakan Bersatu akan terus bersama PN dan menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Namun, kenyataan itu kemudiannya mendapat reaksi daripada Pas yang menyifatkan pengumuman tersebut sebagai tergesa-gesa.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan menegaskan, penggunaan logo PN memerlukan watikah yang ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukan presiden parti komponen.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Bersatu bersedia mengetengahkan lebih ramai calon dan menyasarkan untuk bertanding banyak kerusi bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, sekurang-kurangnya 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan, sekali gus memerlukan perancangan strategi yang lebih menyeluruh berbanding PRN lalu.

Must Watch Video

Advertisement