Skip to main content

Politik

Bersatu Temerloh umum sertai Gerakan Reset

https://www.sinarharian.com.my/article/783469/berita/politik/bersatu-temerloh-umum-sertai-gerakan-reset
Mohd Rofaie (duduk, tiga, kanan) bersama sebahagian kepimpinan dan ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Temerloh di Pejabat Bersatu Bahagian Temerloh, 11 Jun 2026. - Foto Sinar Harian

TEMERLOH: Kira-kira 90 peratus kepimpinan Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh menyertai Gerakan Reset selepas mengumumkan keluar dari parti itu.

Ketuanya, Datuk Mohd Rofaie Hamdan berkata, keputusan itu dibuat selepas kepimpinan memilih meneruskan perjuangan politik melalui wadah baharu yang dipelopori Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian pada Khamis.

Menurutnya, daripada keseluruhan 20 ahli jawatankuasa bahagian, hanya tiga ahli jawatankuasa bahagian dan dua cawangan tidak menyertai keputusan berkenaan manakala selebihnya memilih untuk bersama Gerakan Reset.

"Kita mengambil kira pandangan, aspirasi dan harapan ahli-ahli di Bahagian Temerloh, kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk meneruskan perjuangan melalui wadah baharu yang lebih segar, inklusif dan lebih berupaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat demi memperjuangkan kepentingan rakyat serta masa depan negara.

"Jadi, kami melihat bahawa Gerakan Reset yang membawa satu seruan perubahan yang lebih segar, inklusif dan berteraskan agenda pembaharuan politik, tatakelola yang baik serta penyatuan rakyat demi masa depan negara yang lebih baik.

"Gerakan ini memperjuangkan pembinaan semula kekuatan rakyat berasaskan Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tatakelola Adil serta Berperikemanusiaan di dalam kerangka Konsensus Nasional," katanya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Rofaie memberitahu, penyertaan ke dalam Gerakan Reset tidak menandakan mereka keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun katanya, kerjasama dengan Pas dan parti-parti komponen lain dalam gabungan itu akan terus diperkukuhkan seperti sebelum ini memandangkan tenaga penggeraknya masih terdiri daripada kelompok yang sama.

“PN di Temerloh dan Pahang tidak akan terjejas. Kami hanya berpindah daripada Bersatu.kepada wadah baharu, namun tetap bersama rakan-rakan dalam PN.

“Hubungan dengan Pas kekal baik dan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan semua pihak termasuk rakan-rakan komponen,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Rofaie berkata, keputusan Pas menamatkan hubungan dengan Bersatu di peringkat pusat juga akan memberi kesan kepada sentimen ahli-ahli Bersatu di pelbagai bahagian.

Ujarnya, ramai ahli di peringkat akar umbi mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Pas serta parti-parti komponen lain dalam PN.

"Perkembangan ini mungkin mendorong lebih banyak bahagian mengambil langkah yang sama,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement