PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ia terserah kepada keterbukaan parti-parti lain untuk berbuat demikian.

Jelas beliau lagi, Bersatu berpandangan kerjasama pada PRU15 adalah wajar bagi menentukan kemenangan gabungan tersebut kelak.

“Saya fikir pada bulan puasa ini agak perlahan sedikit tetapi lepas ini kalau dah raya nanti, mungkin kalau keadaan mengizinkan dan ada kecenderungan atau minat daripada mana-mana parti sekali pun, untuk berbincang cara bagaimana nak menghadapi strategi pilihan raya, kita akan cuba usahakan.

“Ini bukan sahaja bergantung kepada pihak saya tetapi pihak-pihak lain yang berpendapat (dan) sependapat, bahawa langkah tersebut (kerjasama) adalah wajar untuk menentukan kemenangan kita dalam pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini pada Khamis.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada masih terdapat inisiatif yang dilakukan oleh Bersatu untuk mengadakan pertemuan dengan parti-parti lain ketika ini.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilapor mengadakan pertemuan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bagaimanapun, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin menemuinya bagi meminta sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.