KUALA LUMPUR: Pas cukup bijak untuk tidak sewenang-wenangnya membenarkan diri mereka dipergunakan UMNO-BN atas nama kerjasama untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Demikian tegas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Rafiq Naizamohideen, yang yakin bahawa Pas akan tetap mendukung cita-cita Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan bersama Bersatu.

Keyakinan beliau itu adalah bersandarkan kenyataan terbaharu Pas yang mengumumkan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan syarat yang ditetapkan UMNO-BN andai mahu membentuk kerjasama - yakni memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Ia menguatkan lagi pendirian Pas yang teguh bermatlamat untuk menyatukan ummah dengan menjadi penghubung dan pendamai antara dua parti besar Melayu itu.

“Jadi kalau dah begitu keadaannya, maksudnya kita faham bahawa tak ada rundingan lagi, atau takkan ada, tak mungkin kerjasama Pas dengan UMNO ini akan terjalin,” katanya.

Malah maklumnya ketika ini, sudah semakin jelas terlihat hasrat sebenar UMNO-BN untuk membuka pintu rundingan bagi membentuk kerjasama hanya demi keuntungan di pihak mereka sahaja.

“Kita tengok kenyataan yang dibuat oleh UMNO Negeri-Negeri, kita tengok UMNO Kelantan, Terengganu bahkan Kedah, di negeri-negeri yang Pas ketuai.

“Kita lihat kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa UMNO Kedah yakin akan mampu rampas pentabdiran kerajaan Kedah daripada Pas.

“Kenyataan pemimpin UMNO, tidak kira yang bersama Presiden atau yang bersama Perdana Menteri, sama sahaja - mereka sebenarnya sudah bersedia untuk bukan saja tak mahu berunding dengan Pas tapi mereka sebenarnya nak rampas negeri-negeri Pas.”

Jelas Rafiq, sebaliknya pula sikap UMNO terhadap Pas di negeri Selangor, negeri yang dirasakan mereka tidak boleh ditawan daripada Pakatan Harapan tanpa Pas.

Disebabkan itu katanya, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah memberitahu dengan jelas bahawa mereka tidak boleh terima sikap UMNO yang mana di sesetengah negeri mereka mahu menggempur Pas namun di sesetengah negeri seperti di Selangor, UMNO mahu pujuk Pas.

“Saya fikir Pas tidak bodoh dan takkan biarkan mereka dipergunakan oleh UMNO-BN kerana ternampak ketidakikhlasan mereka kerana hanya ingin berunding di negeri-negeri yang mereka rasa perlukan Pas sementara negeri-negeri yang mereka tak perlukan Pas, mereka nak singkirkan Pas.

“Ini bukan satu semangat setiakawan yang ditunjukkan sepertimana Pas dalam PN.”

Bersatu yakin Pas konsisten terus bersama Perikatan Nasional - Rafiq Naizamohideen