IPOH: Kepimpinan dan ahli MCA diingatkan supaya tidak cepat berpuas hati atau terlalu ghairah dengan 'kejayaan kecil' yang dicapai parti itu setakat ini.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kepimpinan parti di semua peringkat perlu mempamerkan iltizam tinggi dengan menawarkan perkhidmatan cemerlang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kekuatan yang dimiliki sesebuah parti secara langsung memberi nilai tambah dan kelebihan dalam percaturan politik serta rundingan gabungan pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA di MH Hotel, di sini hari ini.
Bengkel disertai lebih 200 pemimpin di peringkat bahagian itu dirasmikan Menteri Besar yang merupakan Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Wee berkata sebarang perbincangan khusus berhubung pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) hanya akan dimuktamadkan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penggal DUN Melaka ke-15 akan berakhir pada Disember ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN.
-- BERNAMA