Skip to main content

Politik

BN di landasan selesa ketuai kerajaan persekutuan pasca PRU16 jika terus ‘disokong’ Pas  - Penganalisis

TB_FLAG POLITIK BN_AWANI
Pada PRN Johor ke-16 yang lalu, BN berjaya menambah majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memenangi 48 kerusi berbanding 40 kerusi dalam edisi pilihan raya sebelumnya. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan senario persefahaman politik yang boleh berlaku antara Barisan Nasional dan Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN).  

Timbalan Ketua Strategik, Ibu Pejabat Asia UN SDSN, Universiti Sunway, Prof Dr Wong Chin Huat berkata jika Pas mengekalkan sikap memberi laluan mudah untuk BN menang di kerusi-kerusi strategik, maka BN dijangka boleh mengetuai kerajaan persekutuan sebagai blok terbesar pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.  

“Ancaman paling besar kepada BN ialah Pas. Tetapi kita lihat di Johor, kalau kita gabungkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN), maka BN boleh menang sehingga 25 daripada 26 kerusi parlimen, berbanding cuma sembilan kerusi yang dimenangi dalam PRU15.  

“Pas mungkin akan minta untuk bertanding di 60 kerusi yang tidak bertembung dengan BN. Maksudnya, jika persetujuan ini tercapai, maka BN akan bertanding di 105 kerusi untuk berlawan dengan PH.  

“Kalau PH selemah yang kita lihat di Johor, maka PH mungkin hanya akan memenangi 35 kerusi sahaja. BN ada peluang untuk menang 70 kerusi dan menjadi along dalam kerajaan gabungan dengan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Pada PRN Johor ke-16 yang lalu, BN berjaya menambah majoriti dalam DUN dengan memenangi 48 kerusi berbanding 40 kerusi dalam edisi pilihan raya sebelumnya.

Dalam PRN tersebut PN bertanding di 33 kerusi; 16 kerusi ditandingi calon daripada Bersatu, 11 Pas, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang. 

Pada masa sama, Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN di DUN yang tidak ditandingi PN.

PRU16 dijangka diadakan dalam tempoh setahun akan datang memandangkan tempoh matang Parlimen ke-15 adalah pada Disember 2027. 

Must Watch Video

Advertisement