KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengulangi kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov tahun lalu, pada PRN Johor yang dijadualkan 12 Mac depan.

Beberapa penganalisis dan pemerhati politik berpendapat, antara faktor penyumbang yang mampu memberi kemenangan kepada BN pada PRN Johor itu ialah, pengalaman dan pencapaian gabungan itu dalam menerajui negara sejak merdeka selain pemimpin yang stabil diperlukan oleh rakyat di negeri itu.

Profesor Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Kassim Thukiman berkata kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad, merupakan lanjutan daripada kesinambungan kepimpinan lalu, serta berusaha meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang maju setaraf dengan Singapura.

"Kepimpinan BN dengan kekuatan pengalaman mereka mentadbir kerajaan dan didokong oleh pegawai tadbir negeri, sudah menampakkan impak dalam pembangunan di Johor.

"Dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor, bukan sahaja tertumpu di kawasan Iskandar Malaysia tetapi hampir setiap daerah ada perkara (pembangunan) penting perlu dibangunkan," katanya ketika membincangkan topik 'PRN Johor: Calon dan Kempen' menerusi rancangan Ruang Bicara Bahas yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata keadaan itu, memberi gambaran bahawa setiap parti dan gabungan perlu mempunyai manifesto yang mampu dicapai demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, pengundi memerlukan pemimpin yang boleh menjiwai kehendak rakyat, selain melihat PRN Johor itu sebagai sebuah usaha untuk menyuburkan semangat demokrasi, dalam membina sebuah negara bangsa.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan, berkata pengundi Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mengakui BN berupaya memenuhi kehendak mereka itu.

Menurutnya rakyat Johor juga mahukan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang Menteri Besar seperti Hasni, yang mementingkan kepentingan negeri dan rakyat Johor.

"Hasrat pengundi Johor mahukan Menteri Besar yang pentingkan negeri Johor...Jadi, saya jangkakan keputusan di (PRN) Melaka akan di berulang kembali di Johor," katanya.

-- BERNAMA