IPOH: "Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN)."

Demikian status ringkas dimuat naik Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dalam Facebook beliau hari ini.


"PH akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama dengan BN!" tulis beliau.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan kenyataan media bersama PH dan BN yang tular sebelum ini.

"Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan undangan negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang telah diadakan pada 19 November 2022.

"Demi kepentingan rakyat dan negara, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan terbaharu itu menyebabkan Istana Kinta di Ipoh menjadi tumpuan media sejak dari jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, beberapa pemimpin termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad turut dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Howard Lee Chuan How dilihat memasuki istana tersebut kira-kira jam 12.12 tengah hari tadi.

Beliau merupakan pemimpin politik pertama memasuki istana dan difahamkan akan ada lagi beberapa pemimpin masuk ke istana sepanjang hari ini.