Skip to main content

Politik

BN tanding solo PRN Melaka? "Itu rahsia parti" - Khaled Nordin

Bangi , 27 April 2026. Menteri Pertahanan , Datuk Seri Khaled Nordin menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Persatuan Veteran ATM di Pusat Konvensyen Bangi Avenue. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Mohamed Khaled menyifatkan perkara berkaitan pembahagian kerusi dan kerjasama politik sebagai rahsia parti yang hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.- Foto/ Astro AWANI

BANGI: Barisan Nasional (BN) masih mengunci rapat strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang, termasuk kemungkinan gabungan itu bertanding secara solo.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan perkara berkaitan pembahagian kerusi dan kerjasama politik sebagai rahsia parti yang hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.

Advertisement

Mengulas mengenai laporan yang mendakwa BN akan bergerak sendirian tanpa kerjasama parti lain di Melaka, beliau menegaskan bahawa segala perancangan sedang diperincikan secara dalaman.

"Itu rahsia parti,” katanya memaklumkan segala keputusan akan diumumkan secara rasmi mengikut kesesuaian masa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi pada Isnin.

Penggal kelima DUN Melaka dijadual tamat pada Disember depan, sekali gus bakal membuka laluan kepada PRN diadakan tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Khaled turut menjelaskan fungsi sebenar Rumah Bangsa yang menjadi wadah baharu bagi memperkukuh sokongan terhadap parti tersebut.

Beliau menekankan bahawa inisiatif ini mempunyai objektif yang lebih luas daripada sekadar menarik semula ahli lama.

"Mengenai Rumah Bangsa, kita kena faham, bukan terhad kepada soal untuk mengembalikan mereka yang dahulu pernah menjadi ahli UMNO tetapi Rumah Bangsa adalah sebagai satu wadah untuk memudahkan orang-orang muda menyertai UMNO tanpa perlu ikut proses-proses yang mungkin tidak menggalakkan mereka menyertai,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa platform tersebut berfungsi sebagai ruang terbuka untuk percambahan idea demi pembangunan negara.

"Kita juga akan kembangkan Rumah Bangsa sebagai satu wadah bagi sesiapa mereka yang ada pandangan, cadangan yang ingin majukan negara dan juga bangsa.

“Sampai masa kita akan umum nama yang akan sertai semula,” katanya.

Must Watch Video