Tindakan Pakatan Harapan Johor memohon agar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas diadakan bagi memberikan peluang kepada Menteri Besar Johor yang baharu membuktikan sokongan terhadap beliau.

Bagaimanapun kata ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse, ada pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi dan berniat mengelirukan orang ramai dengan menyatakan tindakan itu menentang titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya sentiasa mengambil pendirian menghormati hak dan prerogatif Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor untuk melantik Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar Johor ke-18 berdasarkan kepada undang-undang tubuh kerajaan 1895.

“Namun, adalah menjadi tanggungjawab Hasni membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai majoriti di Dewan Negeri dengan menyegerakan Sidang DUN akan mencerminkan keberanian dan keyakinan beliau,” katanya dalam kenyataan lewat petang Khamis.

BACA: PH Johor akan mohon sidang DUN Khas

BACA: Hasni mula tugas sebagai Menteri Besar Johor


Beliau merujuk kepada artikel sebuah portal "Jimmy Puah ajak rakyat menentang titah Sultan Johor?" yang disifatkannya cubaan menfitnah dan mengelirukan orang awam.

Mengulas lanjut, Jimmy Puah yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor berkata sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Johor, beliau akan sentiasa menghormati dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Institusi Diraja.

“Tidak pernah terdetik di hati saya ingin menentang atau menderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor,” katanya lagi.