Tiada desakan supaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat permohonan maaf susulan pemecatan Zakaria Abdul sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebagaimana gesaan sekumpulan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) PKR.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu adalah tidak benar dan seolah-olah dipermainkan pihak tertentu.

Jelas Anwar, naib presiden Tian Chua dan R.Sivarasa menyangkal bahawa mereka menuntut permohonan maaf, sebaliknya hanya mahu pemecatan itu dipertimbang semula.

"Pagi tadi saudara Tian Chua dan Sivarasa dan beberapa lain ada hubungi saya... kenyataan itu tidak benar, kenyataan ditandatangi itu sebahagiannya benar, supaya merayu, supaya lembaga disiplin tidak ada halangan," kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menjelaskan bahawa pemecatan Zakaria dibuat oleh MPP selepas menerima cadangan Lembaga Disiplin berdasarkan surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat salah laku dua ahli PKR terbabit.

"Nak suruh saya minta maaf? Orang ini dituduh rasuah, SPRM yang tuduh, bukan saya tuduh. Timbalan Pendakwaraya kata mesti ambil tindakan, lepas tu saya kena minta maaf?" kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sekiranya kumpulan itu mahu membuat rayuan, beliau tidak mempunyai sebarang halangan dan Lembaga Disiplin PKR boleh meneliti semula pemecatan itu.

Namun, ujarnya, adalah lebih baik sekiranya Zakaria sendiri yang membuat permohonan rayuan tersebut.

"Rayuan, saya tak ada halangan. Orang merayu supaya Lembaga Disiplin meneliti semula... sebaiknya yang merayu Zakaria sendiri," kata Anwar lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap tama pada Majlis Dialog Peradaban Islam Confucianisme di Pusat Konvensyen Arena Spice di Bayan Baru pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, ketika ditanya siapakah dalang yang ‘mempermainkan’ kenyataan berkenaan, Anwar berkata beliau tidak tahu namun katanya, surat itu ditandatangani oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai Ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.

BACA: 20 anggota MPP PKR tolak pemecatan Zakaria

Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah' bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Tujuh belas nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

PKR melucutkan keanggotaan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi selepas mendapat surat daripada SPRM memaklumkan tentang siasatan atas dakwaan rasuah terhadap kedua-dua mereka.

Siasatan ke atas Zakaria adalah berdasarkan rakaman audio yang dikatakan mengandungi rakaman suaranya menawarkan kontrak semasa pemilihan PKR tahun lalu.

Zakaria bertanding dan memenangi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan meraih undi kelapan paling banyak.

Bagaimanapun, Zakaria mendakwa dia tidak pernah dipanggil membela diri atas sebarang tuduhan sebelum dipecat.