KUALA LUMPUR:Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi menafikan dakwaan beliau antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Ahli Parlimen Kinabatangan itu, bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD.

Ini kerana jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, sokongan itu akan menentukan pembentukan kerajaan dalam sesebuah negara.

"(Perkara untuk) mendapatkan SD bukan mudah sebab ia akan menentukan (kerajaan) sesebuah negara.

"Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

"Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua negara," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi pihak tidak bertanggungjawab.

"Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya tidak tahu macam mana lagi mahu buat penafian.

"Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta isu yang tidak baik perlu dihentikan segera kerana ia mengelirukan rakyat.

"Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial (bebas) untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat.

"Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Al-Sultan Abdullah. Tidak perlu buat kenyataan.

"Sesiapa yang ada keyakinan diri, bawa dan menghadap (Al-Sultan Abdullah). Jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong," katanya.

Semalam, sumber memberitahu Astro AWANI bahawa Anwar dikatakan sekali lagi akan cuba meyakinkan Al-Sultan Abdullah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Sumber yang dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu Astro AWANI, bahawa beliau sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD.

BACA: Anwar akan bentang sokongan 113 Ahli Parlimen dalam masa terdekat?


Sementara itu, sumber yang rapat dengan percaturan tersebut memberitahu, SD berkenaan didakwa turut mendapat sokongan daripada 10 Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BACA: 10 Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar termasuk Najib dan Zahid - Sumber

Selain Pekan dan Bagan Datoh, sumber itu turut memberitahu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Bung Moktar turut tersenarai dalam SD tersebut.