Skip to main content

Politik

Cadangan tambah kerusi DUN Sarawak dalam penelitian SPR - Mustapha

KOTA KINABALU, 6 Mac -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud ketika menyampaikan amanat kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sabah di sini hari ini.  --fotoBERNAMA
Mustapha berharap proses selanjutnya dapat dipercepat sebelum dibentangkan di Parlimen. - Gambar Bernama

KUCHING: Cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan sebelum ini, kini masih dalam peringkat penelitian pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berharap proses selanjutnya dapat dipercepat sebelum dibentangkan di Parlimen.

Advertisement

"Saya tidak mahu mengulas panjang, namun yang penting kita perlu mendengar suara daripada Sarawak, khususnya berhubung cadangan penambahan kerusi DUN ini," katanya kepada pemberita pada Program Santai dan Sungkei Media Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, perhatian yang lebih menyeluruh dapat diberikan terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam mempercepat penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.

Langkah itu juga membolehkan isu berkaitan pembangunan infrastruktur di kawasan yang masih ketinggalan diteliti dan ditangani secara lebih dekat serta berkesan demi meningkatkan kesejahteraan penduduk di wilayah Borneo, terutamanya di Sarawak.

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN.

Selain itu, Mustapha berkata, cadangan supaya Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi di Parlimen juga wajar diberikan perhatian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat diperkukuh serta mempercepat pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata, pertambahan wakil rakyat mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kebajikan rakyat.

"Pertambahan kerusi Parlimen akan membolehkan wakil rakyat memberikan tumpuan lebih besar terhadap keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kawasan geografi luas. Usaha menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu pembangunan setempat juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video