KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan UMNO dalam meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Ia selepas UMNO Bahagian Kota Raja menyatakan hasrat supaya Zafrul diketengahkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada PRN tersebut.

"Saya amat menghargai hasrat yang disuarakan oleh jentera UMNO Kota Raja yang mahu saya diketengahkan sebagai calon di PRN Selangor di salah satu kerusi DUN di Kota Raja.

"Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, saya serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menentukan calon UMNO di pilihanraya negeri Selangor.

"Fokus UMNO Kota Raja sekarang adalah untuk memperkemaskan gerak kerja supaya kita mampu  menyumbang kejayaan calon yang disokong parti," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Selasa, UMNO Bahagian Kota Raja berhasrat mengetengahkan ahlinya, Tengku Zafrul sebagai calon parti berkenaan untuk bertanding bagi kerusi DUN Sungai Kandis.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar turut menyatakan keyakinannya terhadap Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor itu yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Menurutnya, Tengku Zafrul akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat, selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.