KOTA KINABALU : Sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) setakat ini terhadap pemilik Facebook yang memuatnaik kenyataan mengaitkan pemimpin parti itu menyokong Israel.

Menurut Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari menerusi kenyataan pada Ahad, selain daripada laporan polis, pihaknya turut mengemukakan aduan berhubung isu itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, penama Facebook yang dikenali sebagai 'Danny Lukas JR' itu dikenal pasti menggunakan akaun palsu dan dilihat memuat naik paparan beserta gambar dua pemimpin STAR dalam posting berkenaan pada Sabtu.

"Individu ini bukan ahli STAR dan dikenal pasti sering memuat naik dalam media sosialnya seperti Facebook seolah-olah dia mewakili parti ini sehingga membuat ramai terkeliru.

"Bagaimanapun, individu ini dilihat telah melampaui batas apabila memuat naik gambar berkenaan dan menyebabkan STAR dilempar tuduhan menyokong keganasan," katanya.

BACA: Fitnah! STAR sifatkan 'posting' sokong Israel berniat jahat

Rizal turut menambah, beberapa bahagian parti turut akan mengambil tindakan serupa bagi membersihkan imej STAR  dalam isu berkenaan.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga meminta para penyokong untuk tetap bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang bukannya datang daripada parti itu.