DAP Sabah belum lagi mahu memikirkan mengenai persiapan pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.186 Sandakan susulan kehilangan penyandang sebelum ini, Datuk Stephen Wong yang meninggal dunia pada Khamis.

Naib Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihaknya kini memberi fokus kepada majlis pengebumian mendiang Stephen yang akan dikebumikan di daerah Sandakan pada esok (Sabtu) bagi memberi ruang semua pihak memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh politik itu.

Beliau berkata, pihaknya sedar dan tahu mengenai keperihatinan mengenai ketetapan berkenaan untuk terus memberikan khidmat kepada rakyat Sabah dan penduduk di Parlimen Sandakan khususnya, namun perkara itu akan dibincangkan kemudian.

"Saya pasti semua pihak amat perihatin apa yang akan berlaku dengan situasi di negeri ini, bukan sahaja DAP bahkan kerajaan kerana negeri harus meneruskan perkhidmatan berkenaan tetapi mereka juga berkongsi perasaan dengan kami," katanya.

"Kita sekarang memberi fokus kepada proses pengebumian mendiang berbanding perkara berkenaan (PRK) dan ianya boleh ditunggu, saya pasti," katanya.

Frankie yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata demikian dalam sidang media di pejabat DAP Sabah, Luyang, Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Terdahulu, mendiang Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari Khamis lalu selepas dikejarkan ke hospital akibat diserang sakit jantung.

Mendiang meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.

Sementara itu, Stephen yang menyandang Ahli Dewan Rakyat atas kerusi Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas PRU-14 lalu.

Dalam PRU-14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.

Sementara itu, Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka hadir pada malam ini ke Sabah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Stephen di Pusat Perkhidmatan Pengebumian Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu.