Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini mendakwa peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 66.5 peratus adalah antara punca parti itu kalah dalam pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan semalam.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata berdasarkan analisis awal parti itu, DAP kalah kerana tiga sebab, termasuklah kemerosotan jumlah pemilih yang mengundi.

"Peratusan keluar mengundi menurun kepada kira-kira 66 peratus, iaitu kurang 7,000 hingga 8,000 pemilih berbanding kira-kira 80 peratus pada pilihan raya umum lepas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara Penang Run di sini.

Beliau berkata kebanyakan pemilih yang tidak hadir untuk mengundi adalah mereka yang propembangkang dan berada di luar kawasan.

Katanya dua faktor lagi yang menyebabkan kekalahan calon parti itu ialah permainan politik Umno ketika berkempen serta hakikat bahawa Dyana Sofya adalah muka baharu di kawasan itu dan tidak mempunyai cukup masa untuk membiasakan diri dengan penduduk setempat.

Dalam pilihan raya kecil itu, Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi parlimen Teluk Intan apabila calonnya Datuk Mah Siew Keong, yang juga presiden Gerakan, memperoleh majoriti 238 undi setelah mendapat 20,157 undi, manakala calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud meraih 19,919 undi.

Lim berkata DAP akan membuat kajian terperinci tentang kekalahannya di Teluk Intan.

"Kami tidak menyesal meletakkan calon muda Melayu (Dyana Sofya) di Teluk Intan kerana dia telah mempamerkan prestasi yang boleh dipuji," katanya sambil menegaskan bahawa walaupun kalah, Dyana akan terus berjuang dan berkhidmat kepada penduduk kawasan itu.