PUTRAJAYA: DAP perlu menerima keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) kebelakangan ini sebagai asas untuk menilai semula hala tuju bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik negara, kata Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.
Beliau berkata penilaian itu penting selepas tiga tahun setengah DAP menganggotai Kerajaan Perpaduan, bagi meninjau semula pencapaian serta kelemahan sepanjang tempoh berkenaan sebelum menentukan gerak kerja masa hadapan.
"Kita memang menerima keputusan pilihan rakyat, pilihan rakyat sendiri. Tetapi, keputusan tersebut telah pun membawa kepada kita untuk menimbang semula bagaimana kita mahu bergerak,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Naib-Naib Pengerusi DAP, iaitu Chong Chieng Jen, Teo Nie Ching, Ng Suee Lim, Syahredzan Johan dan J. Arul Kumar serta Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Tan Kok Wai.
Gobind berkata sebagai sebahagian daripada kerajaan yang terdiri daripada pelbagai parti, DAP perlu bersikap realistik dengan mengutamakan pembaharuan yang mendapat persetujuan bersama berbanding melaksanakan keseluruhan manifesto parti secara bersendirian.
“Dalam keadaan tersebut, kita kena lihat sebenarnya apakah yang dapat dipersetujui antara semua parti yang dapat kita laksanakan. Supaya kita dapat pastikan bahawa ada pembaharuan yang perlu kita lakukan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar satu persidangan khas Parlimen diadakan segera bagi membahaskan dan meluluskan pindaan undang-undang utama termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) demi memacu agenda reformasi institusi.
Beliau berkata selain SOSMA, pindaan berkenaan turut merangkumi Akta Perhimpunan Aman 2012, pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
“Langkah ini penting bagi menunjukkan kerajaan benar-benar serius apabila membicarakan mengenai reformasi institusi demi memastikan tadbir urus negara yang telus serta mengelakkan berlakunya salah guna kuasa,” katanya.
Dalam aspek ekonomi, beliau berkata kerajaan juga perlu memahami cabaran yang dihadapi rakyat dan mengambil langkah bagi meringankan beban mereka, selain mengekalkan kestabilan politik untuk menarik pelaburan asing.
“Kita nak pastikan bahawa kita dapat bergerak ke depan dengan kita faham cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat. Dan kerajaan perlu mengambil tindakan untuk memastikan bahawa kita dapat meringankan beban masyarakat di luar sana, khususnya dari sudut ekonomi,” katanya.
Beliau berkata kestabilan politik penting bagi meyakinkan pelabur asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, yang seterusnya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Persidangan Kebangsaan DAP 2026 hari ini dijangka menyaksikan Loke membentangkan usul bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.
Sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak akan membuat keputusan berhubung usul itu menerusi kertas undi rahsia selepas sesi perbahasan.
Persidangan tahun ini turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-60 penubuhan DAP, yang merupakan satu daripada tiga parti komponen utama Pakatan Harapan (PH) selain PKR dan Amanah.
-- BERNAMA