Skip to main content

Politik

DAP sasar letak sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU16

PUTRAJAYA, 6 Sept - Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tengah) ketika sidang media pada Kongres Wanita DAP Kebangsaan 2026 di sebuah hotel hari ini. Turut kelihatan Ketua Wanita DAP Kebangsaan Teo Nie Ching (kanan) dan Timbalan Ketua Wanita DAP Kebangsaan Yeo Bee Yin (kiri). - fotoBERNAMA (2026)
Loke (tengah) ketika sidang media pada Kongres Wanita DAP Kebangsaan 2026 di sebuah hotel hari ini. Turut kelihatan Teo (kanan) dan Timbalan Ketua Wanita DAP Kebangsaan Yeo Bee Yin (kiri). - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: DAP komited untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selaras dengan usaha parti memperkukuh kesaksamaan gender dan penyertaan wanita dalam politik.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata agenda pemerkasaan wanita kini perlu diarusperdanakan dalam parti dan tidak lagi dilihat sebagai agenda khusus sayap Wanita, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua pemimpin termasuk lelaki.

Beliau berkata usaha berkenaan juga perlu diterjemahkan dalam dasar, tindakan dan inisiatif DAP.

“Saya telah menyatakan komitmen parti pada kongres 2023 bahawa memang hasrat dan juga sasaran kami ialah meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU16. Kami yakin sasaran ini boleh dicapai. 

“Kami mesti meneruskan dasar, tindakan dan juga inisiatif-inisiatif kami yang progresif. Kami mesti mengarusperdanakan agenda ini,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita DAP Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dalam kongres sama mencadangkan agar satu mekanisme dana insentif perwakilan politik wanita diwujudkan bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam politik negara.

Beliau berkata cadangan itu merangkumi pembiayaan kempen secara sekali bayar dan peruntukan tahunan kepada parti politik berdasarkan bilangan serta peratusan wakil rakyat wanita yang memenangi kerusi.

“Untuk jangka masa panjang, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP juga mencadangkan DAP Wanita menggesa kerajaan untuk membentangkan draf undang-undang pariti gender (kesamarataan gender) ini,” katanya.

Teo menyifatkan langkah drastik itu perlu diambil memandangkan statistik penyertaan wanita sebagai Ahli Parlimen masih rendah, iaitu hanya 13.51 peratus pada PRU15 berbanding 14.86 peratus pada 2018.

“Ini bermakna sejak PRU pertama yang saya tandingi, kami hanya meningkat lebih kurang tiga peratus. Sampai bila kita hendak lihat Ahli Parlimen wanita di Malaysia boleh sekurang-kurangnya mencapai 30 peratus?” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement