DAP Selangor bersetuju pilihan raya negeri diadakan sebelum cadangan persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diluluskan.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, keputusan hasil perbincangan parti diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan pada Rabu.

Jelasnya lagi, keputusan itu dibuat melalui mesyuarat tergempar yang diadakan pada Selasa.

"Melalui mesyuarat tergempar kita semalam, isu ini telah diselesaikan. Lebih baik jika Pakatan Harapan melaksanakan Pilihan Raya Negeri sebelum persempadanan semula kawasan diluluskan.

"Ini adalah keputusan kita tetapi keputusan akhir diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Semalam, DAP Selangor telah mengenal pasti tujuh kerusi negeri yang bakal dirampas kembali Barisan Nasional (BN) di Selangor sekiranya usul persempadanan semula kawasan seperti dicadangkan SPR diluluskan.

Menurut Tony, berdasarkan corak pengundian pada 2013, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dimenangi BN sekiranya persempadanan semula diluluskan ialah Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang dan Morib.

Ia kerana katanya, BN berpeluang menang sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN lagi disebabkan majoriti kemenangan dilakukan oleh penyusunan semula SPR

Tony yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, isu mandat rakyat juga tidak timbul, kerana pilihan raya tidak semestinya diadakan apabila mencecah 4 tahun, boleh juga 4 tahun setengah.

"Saya percaya pengundi di luar sana akan terus memberikan mandat menerusi pilihan raya negeri yang tidak dimanipulasi," katanya.

Tambah Tony, situasi di Selangor berbeza dengan situasi di negeri lain kerana jika pilihan raya negeri mahu diadakan ia perlu mendapatkan perkenan Sultan Selangor.

"Sudah tentu Sultan Selangor akan memberi keputusannya, tetapi dari sudut perspektif politik kita harus membuat keputusan sama ada mahu lakukan pilihan raya atau tidak.

"Tidak boleh bergantung pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan Selangor tidak perlu mengadakan pilihan raya awal.

Kata Azmin, pihaknya tidak boleh mengkhianati mandat yang diberikan rakyat Selangor kepada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) lalu.