KUALA LUMPUR: Kestabilan yang sedang dikecapi sekarang tidak perlu dikucar-kacirkan dengan desakan agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

Mohamed Nazri menegaskan sekiranya UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati.

Malah beliau menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah bahawa baginda mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil.

"Jangan setakat bila untung kita sebut titah raja tetapi bila tidak menguntungkan, kita akan buat-buat lupa, tak boleh.

"Jadi kita kena ingat, apapun, titah daripada Yang di-Pertuan Agong itu memang ada, mahukan kerajaan yang stabil, mahu negara stabil.

"Kalau kita langgar titah ini maka betullah anggapan orang, kita nak mengkucar-kacirkan keadaan yang sedang stabil sekarang, kenapa perlu kucar-kacir di waktu aman dan stabil, sekarang tidak ada apa-apa masalah.

"Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir dengan baik, tidak ada masalah. Saya lihat alasan yang diberikan itu spekulasi sahaja atau pun diada-adakan sahaja," katanya kepada Astro AWANI.

Selepas mencapai kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, terdapat pemimpin UMNO yang mendesak agar Parlimen segera dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Namun, ada juga kalangan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal hingga habis penggal PRU14 ini iaitu pertengahan tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menjelaskan, rakyat juga akan melihat UMNO cuba menjatuhkan Perdana Menteri daripada parti sendiri.

"Pemulihan ekonomi negara kita belum lagi selesai, baru nak steady. Jadi pada waktu ini kita mendesak supaya diadakan PRU nampaklah kita yang mengkucar-kacirkan.

"Lebih teruk lagi ialah kalau kita desak PRU15 dan jatuhkan kerajaan yang ada ini, kita menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang datang daripada kalangan kita," katanya.

Bagi Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Hamidin Abd Hamid, hasrat mahu mengadakan pilihan raya awal digerakkan oleh sesetengah pemimpin UMNO yang mahu kekal pada kedudukan yang dimahukan.

Jelas beliau, sekiranya UMNO mampu mencapai kestabilan dalaman parti mereka, ia mampu menjadikan pentadbiran negara juga stabil.

"Saya sering mengatakan UMNO perlu menyelesaikan perkara ini dengan baik untuk memastikan apa yang berlaku dalaman parti itu tidak tidak tumpah dan memberi kesan kepada politik nasional.

"Setakat ini kita lihat UMNO gagal untuk menyelesaikan masalah dalaman parti mereka sendiri hingga ia dilihat menggugat kestabilan pentadbiran negara.

"Apa yang berlaku ketika ini, boleh saya katakan, desakan untuk bubar Parlimen dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam UMNO ini adalah usaha mereka menjadikan isu pilihan raya ini untuk memastikan mereka kekal pada kedudukan yang mereka mahukan.

"Saya kira UMNO sebagai sebuah parti tidak seharusnya diguna pakai dalam konteks peras ugut sedemikian oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.