Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K Devamany pada Khamis menyelar tindakan pemimpin DAP, V Sivakumar, yang mempersoalkan ketelusan MIC dalam membantu masyarakat India.

Pada Jun lepas, pemimpin DAP itu bertindak memuatnaik beberapa klip video yang seolah-olah mempertikaikan kewibaan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN), antaranya Gerakan, MCA dan MIC.

Devamany berkata, tindakan Sivakumar jelas menampakkan bahawa beliau sengaja menutup aib di sebalik kegagalannya untuk membantu kaum India dengan mencari kesilapan parti MIC pula.

"Saya nak beritahu Sivakumar, bahawa MIC merupakan parti bermaruah dengan konsensus adil yang memberikan komitmen sepenuhnya kepada mereka yang dibantu secara serius.

"Apa yang dilakukan oleh Sivakumar adalah cukup memalukan sehinggakan beliau sanggup 'menjual' komuniti beliau hanya untuk secebis populariti dan publisiti murahan," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.

Katanya, kenyataan semberono yang dikeluarkan oleh Sivakumar itu juga menampakkan dirinya dalam keadaan terdesak, seiring dengan percaturan DAP yang semakin tidak relevan hari ini.

"Ini merupakan kenyataan tidak bermaruah oleh seorang wakil rakyat. Malah hanya cara ahli politik itu cuba untuk meraih tempat dengan memburukkan parti (MIC) yang mewakili kaum India yang sebenar,"katanya lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mengingatkan bahawa termaktub dalam agenda MIC kepada rakyat untuk sentiasa fokus dalam membantu rakyat dan semuanya dinyatakan dalam hitam putih.

Malah, bekas Speaker DUN Perak itu turut menegaskan bahawa MIC sentiasa menjalankan program berterusan bagi menyelesaikan masalah komuniti di kesemua 4,000 cawangan yang kian meningkat bilangannya di sebalik cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Tambahnya, beliau telah mengeluarkan kenyataan berkenaan agenda dan hala tuju sebenar MIC malah parti itu dipantau dan diselia sentiasa oleh Perdana Menteri.

"Apa yang telah Sivakumar atau DAP lakukan untuk kaum India? Apakah yang telah dilakukan oleh Sivakumar untuk bangsanya sendiri, agar beliau kekal relevan?

"Apakah agenda sebenarnya untuk kaum India? Tolong terangkan kepada kami kerana setakat ini tiada sebarang benda yang boleh dilihat dan didengari.

"Jadi sekarang, siapakah nyamuk sebenar yang hanya bising di belakang dalam hal ini?"

Katanya, Sivakumar harus berhenti menempelak mereka yang memberikan perubahan positif kepada komuniti dan usah mengejar populariti singkat dengan mengabaikan dan merosakkan potensi mereka yang betul-betul perlukan bantuan.

"Kalau ada yang gagal menunaikan tanggungjawabnya maka mereka harus membuka ruang kepada mereka yang lain, yang boleh membawa perubahan positif.

"Buat masa ini, saya mengingatkan semua warga relevan di dalam MIC untuk fokus kepada kejayaan pilihan raya umum ke-14 sebagai parti komponen BN.

"Percayalah bahawa kita sebenarnya sedang melakukan perubahan dan meneruskan kerja sebaiknya bagi orang ramai," ujarnya.