KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat harus menjadi institusi yang dihormati, diyakini rakyat dan menjadi “sekolah” demokrasi yang terbaik untuk generasi akan datang, terutama menjelang pelaksanaan Parlimen Belia Malaysia (PBMy) yang dijadual bermula 11 Sept ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Parlimen, bukan sekadar tempat untuk wakil rakyat berbahas, sebaliknya turut menjadi institusi tertinggi perundangan negara yang menjadi rujukan kepada masyarakat dan juga generasi muda.
Beliau berkata pemimpin muda yang menyertaiPBMy, memerlukan contoh dan teladan terbaik menerusi perjalanan persidangan Dewan Rakyat yang berwibawa, tertib dan berintegriti selain didedah kan kepada budaya perbahasan yang matang, berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat.
“Justeru, mesej saya kepada semua Ahli Parlimen mudah, kita perlu menunjukkan teladan yang baik di Dewan Rakyat . Hari ini, melalui media sosial dan siaran langsung, setiap ucapan dan tindakan di dalam Dewan Rakyat dapat disaksikan oleh rakyat.
“Ahli Parlimen Belia Malaysia ini bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan dan mereka sedang melihat bagaimana demokrasi diamalkan di Dewan Rakyat. Saya berharap semua Ahli Dewan Rakyat dapat memelihara martabat Dewan, dengan mengamalkan budaya perbahasan yang berfakta, berhemah dan berorientasikan penyelesaian,” katanya baru-baru ini.
Parlimen Belia Malaysia mengguna pakai konsep Parlimen Malaysia membabitkan 222 kerusi yang mewakili kawasan Parlimen di seluruh negara, dengan parti yang dibentuk dalam platform itu merujuk kepada pertubuhan belia yang berdaftar dengan Parlimen Malaysia.
Sehingga kini, terdapat lebih 10 parti telah ditubuhkan dalam PBMy dan parti berkenaan bukan parti politik sebenar, bersifat non-partisan dan tidak terlibat dalam politik kepartian negara.
Johari yang juga penaung program PBMy itu berkata Parlimen Malaysia ketika ini sedang giat melaksanakan program bersama dengan belia berumur 18 hingga 30 tahun di seluruh negara, untuk mereka berdaftar dan membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Parlimen Belia yang dijadualkan Ogos 2026.
Beliau berkata tarikh penting yang ditetapkan termasuk hari penamaan calon pada 8 Julai, disusuli dengan pengumuman calon rasmi pada 11 Julai.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 27 hari bermula 12 Julai hingga 7 Ogos serentak di seluruh negara, manakala proses pengundian dilaksanakan secara dalam talian menerusi sistem e-PBMy dengan tempoh mengundi ditetapkan selama 24 jam bermula 10 pagi pada 8 Ogos dan berakhir 10 pagi, 9 Ogos,” katanya.
Johari berkata majlis pembukaan Persidangan Dewan Belia serta pelantikan Ahli Dewan Belia yang dijadualkan berlangsung pada 11 Sept ini, menandakan bermulanya persidangan penggal baharu Parlimen Belia Malaysia.
Beliau berkata persidangan Parlimen Belia Malaysia akan berlangsung tiga kali setahun dengan hari persidangan diadakan selama dua hari, manakala tempoh lantikan Ahli Parlimen Belia ditetapkan selama dua tahun.
Parlimen Belia Malaysia mula diperkenalkan pada 2015 di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan selepas lapan tahun ditubuhkan, kerajaan pada Oktober 2023 bersetuju agar Parlimen Belia Malaysia diurus dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Parlimen Malaysia.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dirujuk pada portal rasmi Parlimen Belia Malaysia menerusi pautan https://pbmy.parlimen.gov.my/my/ .
-- BERNAMA