AYER KEROH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kononnya hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini mengalami keretakan.
Menegaskan perkara itu sekadar pandangan peribadi, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pendekatan yang diambil beliau sentiasa berteraskan perdamaian dan persefahaman demi kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Itu pandangan peribadilah. Dia selalu lihat dari segi cara gaduh, saya lihat cara damai. Itu berbeza. Dia jalur gaduh, saya jalur damai.
"Dalam ucapan saya tadi, saya ucap terima kasih tentang peranan Ahmad Zahid dan UMNO selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam memeterai Kerajaan Perpaduan di peringkat awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar dewan sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Ditanya mengenai status hubungan di peringkat nasional, Anwar secara berseloroh menolak sebarang perselisihan faham, namun mengakui dinamik politik di peringkat negeri adalah sesuatu yang lumrah.
"Ada gaduh? Peringkat negeri ada sikit... biasa pak," ujarnya ringkas.
Mengulas dakwaan enam cabang PKR di Negeri Sembilan yang menghantar surat mendesak pengunduran Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Anwar mengesahkan beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Surat biasalah... (secara rasmi) belum terima, tapi saya telah dimaklumkan. Tak ada masalah, kita boleh bincang," jelasnya lagi.
Semalam, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO mendakwa kepercayaan antara Anwar dan Ahmad Zahid kini berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.
Katanya, keadaan itu susulan hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang semakin mencabar, khususnya selepas BN memilih kerjasama dengan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.
Kerjasama itu mencetuskan keretakan besar antara BN dan PH, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana BN akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan, kata Khairy Jamaluddin ketika menghoskan podcast Keluar Sekejap,