Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyanyikan lagu 'Tunggu Sekejap' sebagai reaksi spontan ketika ditanya mengenai Pemilihan PKR 2025.
- Beberapa pemimpin kanan PKR tewas dalam pemilihan, termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad dan Akmal Nasir, yang akan merujuk keputusan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
- Mesyuarat tergempar MPP PKR akan diadakan untuk membincangkan dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dalaman parti.
Anwar menyanyikan lagu tersebut sebagai reaksi spontan beliau semasa meninggalkan majlis sambil menuju ke kenderaannya sekitar jam 12.50 tengah hari tadi.
Malah beliau turut membuka tingkap dan menyambung beberapa rangkap lagu tersebut sambil melambai ke arah tetamu yang hadir.
Anwar ditemui wartawan ketika melawat rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini, hari ini.
Lagu berjudul Tunggu Sekejap merupakan lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada tahun 1958 yang popular melalui filem Sarjan Hassan.
Turut menemani Anwar ialah Menteri MOSTI Chang Lih Kang yang berjaya mempertahankan jawatannya selaku Ketua Cabang PKR Tanjong Malim.
Pengamal media mengajukan soalan berkenaan kerana trend menunjukkan beberapa pemimpin kanan parti tewas pada pemilihan tersebut.
Antara yang kecundang ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan beberapa pemimpin lain.
Nik Nazmi dalam kenyataannya pada 19 April juga akan merujuk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025.
Semalam, media melaporkan mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diadakan pada Rabu.
Ia bertujuan bagi membincangkan dakwaan wujud penyelewengan dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.
