IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye sebagai pengerusi interim bagi menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.

Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pelantikan itu dijangka sehingga April ini dan keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak yang turut dihadiri oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR Perak mengucapkan jutaan terima kasih kepada Farhash Wafa Salvador atas jasa dan bakti beliau memimpin parti itu di negeri ini sejak 2018.

"Kepulangan Farhash Wafa Salvador ke negeri Selangor, walaupun diterima dengan berat hati oleh seluruh pimpinan dan anggota PKR Perak, wajar dihormati oleh semua pihak," menurut kenyataan itu.

Semalam, dalam satu laporan media Timbalan Pengerusi PKR Perak Datuk MA Tinagaran berkata pimpinan parti di peringkat negeri menghormati keputusan Farhash Wafa Salvador melepaskan jawatan selaku pengerusi negeri untuk bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Gombak pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung April ini.

Farhash Wafa Salvador ketika dihubungi Bernama hari ini berkata keputusan berani untuk bertanding di Cabang Gombak itu diputuskan selepas misi di Perak pasca Pemilihan Keadilan 2018 telah berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, beliau merupakan anggota Cabang Petaling Jaya di Selangor dan telah berhijrah dalam tempoh waktu yang tertentu ke Perak pada 2018 bagi menguatkan jentera parti dan memperkasakan akar umbi.

- BERNAMA