Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP Ke-50 pada Ahad lepas merupakan suatu tindakan terdesak, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron.

Tegas Idris, tindakan terdesak itu jelas dilihat apabila Dr Mahathir yang dahulunya memusuhi DAP lebih dua dekad dengan menghentam, menghina dan melabel parti itu, hari ini sanggup duduk semeja menyokong parti itu.

"Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggenggam tangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (pada Perhimpunan Solidariti Rohingya) pada hari sama Dr Mahathir berada di pentas DAP.

"Suatu ketika dahulu kebenciannya terhadap parti itu hingga ke tulang, namun kebencian itu seolah-olah sesuatu yang dilupakan begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu seorang lagi anggota MT UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengucapkan tahniah kepada DAP kerana pada akhirnya parti itu berjaya ‘memperbodohkan’ Dr. Mahathir hingga sanggup memuji parti yang pernah menjadi seteru utama beliau suatu ketika dulu.

Kata Dr Sahmsul Anuar, kerana dendam kesumat kepada pimpinan UMNO, Dr Mahathir sanggup lakukan apa sahaja termasuk memuji kepemimpinan DAP seolah-olah merekalah yang telah menaikkan beliau menjadi pemimpin negara selama 22 tahun.

“Paling jelas, DAP telah berjaya menggunakan Dr. Mahathir untuk membantu ‘membersihkan’ imej mereka di mata orang Me­layu.

“Hakikatnya, Dr. Mahathir telah menelan semua perkara buruk yang diungkapkan beliau terhadap DAP selama lebih 22 tahun, demi menjayakan matlamat peribadinya. Ini merupakan suatu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan Dr Mahathir telah berjaya digunakan oleh DAP untuk "membersihkan DAP daripada kekotoran dimata orang Melayu.

"Inilah satu lagi jasa besar Dr Mahathir kepada DAP dan iannya akan tercatat dalam sejarah," katanya lagi.

Pada Ahad, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir pada Konvensyen Kebangsaan DAP ke-50 dan duduk di atas pentas bersama-sama pemimpin-pemimpin kanan parti itu, antaranya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan pengasas serta penasihat DAP, Dr Chen Man Hin.

Turut hadir di atas pentas ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu, yang merupakan sekutu DAP dalam Pakatan Harapan.