Skip to main content

Sukan

Legenda bola sepak Jerman Timur Eberhard Vogel meninggal dunia pada usia 83 tahun

RIP Eberhard Vogel, German Soccer Striker Carl Zeiss Jena, East Germany National Team Bronze at 1964 Summer Olympics in Tokyo Bronze at 1972 Summer Olympics in Munich East German Footballer of the Year (1969)
Vogel merupakan pemain sayap kiri yang membawa pendekatan baharu dalam posisi itu sehingga meraih penghormatan di dalam dan luar negara. - X Legacy Tributes
Advertisement

LEIPZIG: Bekas legenda bola sepak Jerman Timur Eberhard Vogel meninggal dunia pada Selasa pada usia 83 tahun selepas menderita sakit sejak sekian lama, menurut keluarganya pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Vogel merupakan pemain sayap kiri yang membawa pendekatan baharu dalam posisi itu sehingga meraih penghormatan di dalam dan luar negara.

Beliau beraksi dalam rekod 440 perlawanan di liga utama Jerman Timur dengan menjaringkan 188 gol dalam saingan Oberliga bersama Karl-Marx-Stadt dan Carl Zeiss Jena.

Beliau memenangi satu kejuaraan liga bersama Karl-Marx-Stadt dan tiga Piala Jerman Timur bersama Jena, selain membantu kelab itu mara ke final Piala Juara-Juara Eropah pada 1981.

Vogel menjaringkan 25 gol dalam 74 penampilan bersama Jerman Timur dan 10 gol dalam 24 perlawanan bersama skuad Olimpik, selain memenangi pingat gangsa pada 1964 dan 1972.

Beliau turut menganggotai skuad Jerman Timur pada Piala Dunia 1974 di Jerman Barat.

"Beliau penyerang berbakat yang mampu bermain untuk mana-mana pasukan bertaraf dunia. Cara beliau memainkan posisi sayap kiri layak dijadikan bahan dalam filem latihan," kata bekas rakan sepasukannya yang kemudian menjadi jurulatih, Hans Meyer.

Vogel kemudian berkhidmat sebagai jurulatih dengan memenangi Kejohanan Eropah Bawah 19 Tahun pada 1986, menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia Bawah 20 Tahun setahun kemudian dan tempat kedua pada Kejohanan Eropah Bawah 16 Tahun pada 1989.

Selepas penyatuan semula Jerman pada 1990, beliau melatih beberapa kelab termasuk Hanover, Jena dan Magdeburg serta skuad kebangsaan Togo.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement