KOTA KINABALU: Datuk Dr Roland Chia Ming Shen dilantik sebagai Ketua Penaja Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah berkuat kuasa 14 Oktober 2021.

Pelantikan itu diumumkan oleh Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat, Datuk Seri Santhara JP.

Bersatu telah mewujudkan sayap parti untuk anggota bukan Bumiputera dan bukan Melayu, yang dikenali sebagai ahli bersekutu pada Persidangan Agung Tahunan parti itu pada November tahun lalu.

Santhara dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang pertama berkuat kuasa pada 29 September 2021.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Ahli Parlimen Segamat.

Sementara itu, Dr Roland Chia Yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu Bersatu Sabah.

Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu Bersatu Sabah terdiri daripada pemimpin politik veteran dan pemuda daripada kalangan profesional dan komuniti peniaga.

Terdahulu, Santhara dan Roland mengetuai Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu Bersatu Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasminya di Sri Gaya, pada Ahad.

Mengalu-alukan mereka ke dalam Bersatu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah berkata, beliau amat menghargai minat dan sokongan padu mereka kepada parti.

Beliau berkata, kehadiran mereka dalam Bersatu menunjukkan parti itu diterima dan mendapat sokongan kuat bukan sahaja daripada masyarakat Bumiputera tetapi juga bukan Bumiputera di Sabah.

“Saya mengalu-alukan semua daripada golongan bukan Bumiputera di Sabah untuk menyertai Sayap Bersekutu kita ini, dan bersama-sama kita bekerja untuk kesejahteraan rakyat dan membawa lebih banyak kemajuan pembangunan kepada negeri ini,” kata Hajiji.

Turut hadir ialah Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Mohd Razali Md Razi dan Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah.