Skip to main content

Politik

Duduk semeja dalam Kabinet tidak wajibkan kerjasama pilihan raya – Pemuda UMNO

[TB]_Hafiz Ariffin_UMNO
Hafiz menyifatkan reaksi DAP mengelirukan, menekankan BN berhak tentukan hala tuju sendiri, dengan keputusan akhir diserahkan kepada pengundi. - Foto UMNO

KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa pemimpin UMNO dan DAP duduk semeja dalam Kabinet tidak bermaksud kedua-dua parti perlu bekerjasama dalam setiap pilihan raya, tegas Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Sembrong berkata, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah berasaskan keputusan pasca-PRU15 untuk mentadbir negara, dan tidak mengikat parti untuk membentuk pakatan politik dalam semua pilihan raya.

"Bagi saya reaksi mereka ini sebenarnya sedang cuba mengelirukan rakyat. Sebab apa? Mari saya kongsi. Mereka sengaja campur aduk antara hal pentadbiran kerajaan Pusat dengan hak sesebuah parti menentukan masa depannya sendiri melalui Pilihan Raya Negeri terkini.

"Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) kata Presiden UMNO duduk semeja dengan Setiausaha Agung DAP setiap minggu. Memanglah. Sebab mereka berada dalam kerajaan yang sama untuk tadbir negara, berdasarkan keputusan dibuat pada 2022. Tapi duduk sebelah setiap minggu bukan syarat wajib kena kerjasama dan masuk pilihan raya sama-sama," katanya lagi.

Hafiz berkata, ia berlaku apabila isu pentadbiran kerajaan Pusat dicampuradukkan dengan hak parti menentukan hala tuju sendiri, khususnya dalam konteks pilihan raya negeri," katanya lagi.

PRK bukan penentu, PRN perlukan strategi sendiri

Mengulas mengenai kerjasama dalam pilihan raya kecil (PRK), Hafiz menjelaskan ia dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan, dan tidak mencerminkan hala tuju politik jangka panjang.

Menurutnya, situasi itu berbeza dengan pilihan raya negeri (PRN) yang menuntut parti menetapkan strategi menyeluruh untuk tempoh lima tahun.

“BN ada hak untuk menentukan hala tuju sendiri dalam PRN,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kemenangan BN dalam PRK sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada sokongan mana-mana parti lain, sambil menegaskan kerusi berkenaan adalah milik BN.

‘Hak politik’ bukan keangkuhan

Dalam masa sama, Hafiz mempersoalkan tanggapan yang melabel UMNO sebagai angkuh apabila membuat pendirian sendiri.

“Tapi bila DAP buat keputusan untuk DAP, itu dipanggil hak politik. Bila UMNO buat keputusan untuk UMNO, tiba-tiba dipanggil angkuh.

"Ini bukan keangkuhan indvidu, Keputusan ini adalah suara hati permintaan akar umbi dan rakyat Johor kepada BN. Jangan paksa, jangan menekan-nekan. Biar rakyat Johor tentukan nanti,” katanya lagi.

Menurut beliau, pendirian BN Johor untuk berdiri sendiri adalah selari dengan kehendak akar umbi dan rakyat di negeri itu.

 

Must Watch Video

Advertisement