IPOH: Kerajaan Perak tidak ‘berpeluk tubuh’ dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negeri yang sebelum ini telah memberi kesan langsung kepada rakyat ekoran penularan COVID-19 kira-kira lebih tahun lalu. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata justeru lebih RM285 juta di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terjejas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata langkah bagi membantu kelangsungan ekonomi rakyat itu juga telah digerakkan pelbagai agensi dan jabatan di semua peringkat di negeri itu. 

“Program Kad Perak Prihatin yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2019 telah banyak membantu hampir 20,000 golongan sasar dalam mendepani cabaran ketidaktentuan harga barangan ini. 

“Kerajaan negeri juga menyediakan Kedai Bergerak yang dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) yang menawarkan harga barangan keperluan lebih murah daripada harga pasaran. 

“Inisiatif Kedai Bergerak ini memberi peluang kepada rakyat di negeri ini untuk membeli barangan asas harian di tempat-tempat tertentu dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan (Ong Seng Guan ( PH-Pokok Assam) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Khamis.

Ketika menjawab soalan tambahan, Saarani (BN-Kota Tampan) memberitahu, seramai 53,000 rakyat di Perak telah kehilangan pekerjaan akibat daripada penutupan sektor industri seperti kilang dan gedung perniagaan. 

Malah jelasnya, terdapat sekurang-kurangnya 80,000 usahawan, peniaga-peniaga kecil dan penjaja serta peniaga pasar malam di negeri itu terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru Saarani berkata melalui Pelan Perak Sejahtera 2030,  kerajaan negeri akan melaksanakan pelagai usaha untuk meningkatkan peluang-peluang pekerjaan di negeri itu. 

“Bagi mereka yang terkesan, kita minta agar mereka dapat menghubungi Sekretariat Pembangunan Keusahawanan Negeri Perak (SUPER) untuk mendapatkan khidmat nasihat agar kerajaan negeri dapat membantu mereka. 

“Banyak yang kita lakukan termasuk memberi sedikit modal permulaan, ruang perniagaan, membimbing mereka untuk memulakan pemasaran digital supaya mereka dapat mengikuti arus perniagaan dengan cara baharu," katanya.