KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok parti pembangkang turut mengangkat sumpah pada   Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang berlangsung hari ini.

Persidangan pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini menyaksikan kehadiran enam orang Ahli Dewan Biasa masing-masing empat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Jumlah ini berkurangan selepas kekalahan beberapa kerusi parti pembangkang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) antaranya di DUN Tanjung Batu, Pelawan, Bukit Assek, Pujut, Krian dan Kota Sentosa.

Selepas PRN-11 pada tahun 2016 lalu, blok pembangkang diwakili seramai 13 ADUN termasuk wakil rakyat yang menyertai PSB sebelum PRN12.

Blok pembangkang di Sarawak kini didominasi oleh calon PSB yang diwakili Presidennya , Datuk Seri Wong Soon Koh (DUN Bawang Assan), Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa (DUN Engkelili), Ahli Parlimen Selangau Baru Bian (DUN Ba’kelalan) dan Ahli Majlis Tertinggi PSB, See Chee How (DUN Batu Lintang).

Sementara wakil DAP di dalam dewan persidangan hanya melalui Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (DUN Padungan) dan Violet Yong Wui Wui (DUN Pending).

BACA: Sidang DUN Sarawak bermula, Abang Jo ketuai angkat sumpah ADUN

PSB adalah parti baharu yang dijenamakan semula daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada tahun 2019 dan menjadi parti bebas sepenuhnya selepas Soon Koh meletak jawatan sebagai menteri kabinet negeri pada Julai tahun yang sama.

PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021 menyaksikan kemenangan besar GPS dengan 76
daripada 82 kerusi yang dipertandingkan sekaligus mengekalkan mandat sebagai kerajaan negeri untuk lima tahun lagi sehingga PRN ke-13.