KUCHING: Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bermula hari ini dengan upacara angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember lalu.

Majlis Mengangkat Sumpah dan Pengurniaan Watikah Pelantikan jawatan itu diketuai Ketua Menteri Sarawak yang juga ADUN Gedong, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di hadapan  Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Persidangan kali ini tidak membabitkan upacara perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud kerana ia akan diadakan kemudian pada tarikh yang ditentukan oleh kerajaan negeri.

BACA: 18 muka baharu, saiz menteri jadi tumpuan di DUN Sarawak

Persidangan kali ini bakal menyaksikan pindaan perlembagaan Sarawak bagi menamakan jawatan Ketua Menteri Sarawak sebagai 'Premier' akan dicadangkan.

RUU berkenaan melibatkan pindaan  Perkara 9(3) Perlembagaan yang antara lin menggantikan perkataan 'Ketua Menteri' dangan perkataan 'Premier'.

RUU ini juga mencadangkan pindaan ke atas Perkara 7A Perlembagaan Negeri  bagi mengubah pellantikan 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri'.

BACA: DUN Sarawak: Jawatan KM kepada Premier; Menteri Muda sebagai Timbalan Menteri

RUU lain yang bakal dibentang ialah RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022; RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022; RUU Tafsiran (Pindaan), 2022; RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak, 2022.

Bacaan pertama bagi kesemua RUU ialah pada hari kedua persidangan iaitu Selasa.

18 Disember lalu, Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri sejurus Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi pada PRN-12 .

Beliau kemudian mengumumkan barisan kabinet baharu Sarawak pada 30 Disember yang terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda dengan 12 daripadanya adalah muka baharu.

BACA: Senarai Kabinet Sarawak: Dr Sim dilantik TKM bersama Uggah, Awang Tengah