Exco kerajaan negeri belum dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih Menteri Besar Perak.

“Setakat ini tidak (dipanggil ke istana). Not in my knowledge (maklumat ke istana),” katanya semasa ditemui media di Bangunan Perak Daruk Ridzuan di sini pada Isnin.

Jelasnya, beliau masih menjalankan tugas sebagai exco seperti biasa dan barang-barangnya masih di pejabat.

“Barang-barang saya masih di pejabat. Saya tak kemas lagi. Saya nak buat teh di atas," katanya

Justeru buat ketika ini, beliau masih optimis dengan kerajaan negeri sedia ada berikutan tiada kata hitam putih mengenai kedudukannya.

“Ya, business as usual. Program saya juga masih berjalan dan tengah hari ada perjumpaan dengan pelabur,” tambahnya.

Setakat ini, katanya, perubahan hanya di peringkat pusat.

“Caretaker hanya ada jika berlaku pembubaran DUN dan ia berlaku jika MB letak jawatan. Namun itu tidak berlaku. Kerajaan lama (Perak) masih lagi PH. Ahmad Faizal masih MB kami,” ujar beliau.

Katanya, memandangkan semua exco tidak mendapat apa-apa arahan, maka pentadbiran kerajaan negeri diteruskan seperti biasa.

“Dia (Ahmad Faizal) masih PH. Dia tidak buat statement dia keluar PH,” tegas beliau.

Ditanya mengenai kelibat Ahmad Faizal yang dilihat berada di rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hotel Sheraton, jelasnya, perkara itu tidak ada apa-apa masalah baginya.

“Itu tidak ada masalah .Biasalah makan malam di Sheraton. Kamu (wartawan) juga boleh sertai saya makan,” katanya.