KEMAMAN: 'Flashmob' yang diadakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sulaimani menghala ke Kuantan, di sini pada petang Jumaat bertukar kecoh apabila berlaku pergaduhan antara penyokong Pas dan Barisan Nasional (BN).

Kekecohan berlaku kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan sekumpulan anggota polis yang memantau keadaan di kawasan itu terpaksa meleraikan perbalahan berlaku antara penyokong kedua belah parti.

Menurut Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa, keadaan yang pada mulanya tenang menjadi huru-hara apabila kenderaan dinaiki Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhenti secara tiba-tiba di tengah jalan ketika lampu isyarat di persimpangan itu berwarna hijau.

"Sejurus selepas itu, beliau dan pemandunya keluar dari kereta. Situasi ketika itu masih lagi terkawal, namun keadaan jadi tegang apabila beliau kelihatan tidak berpuas hati setelah beberapa individu memintanya mengalihkan kenderaan menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dan kekecohan antara penyokong.

"Kita telah membuat laporan polis berhubung insiden dan provokasi yang dicetuskan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman malam tadi,” dakwanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Muhamad Akmal menerusi hantaran video di media sosial mendakwa, situasi itu berlaku apabila pintu kereta yang dinaikinya ditendang penyokong Pas.

"Apabila kiri dan kanan ramai orang buat 'flashmob' jadi kereta terpaksa bergerak perlahan. Bila kereta bergerak perlahan dan saya turun. Bila saya turun tu memang kita nampak saya turun tu kita tenang-tenang. Ada video saya turun tu.

"Kita turun tak ada buat apa-apa provokasi pun tetapi apabila saya lihat kawan saya yang drive (pandu) kereta tu nak masuk semula nak pastikan jalannya 'ok', nak masuk kereta pintu ditendang dan terkena pada beliau.

"Dalam video yang disebarkan tu kita boleh nampak polis yang datang untuk menenangkan penyokong Pas ni yang mana mereka yang mula-mula buat provokasi," katanya. - Sinar Harian