KUALA LUMPUR:Parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) perlu mengenepikan rasa syak wasangka dalam membentuk sebuah entiti politik yang kukuh.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian menegaskan sekiranya sifat negatif itu berterusan, ia akan menyebabkan krisis antara parti yang dilalui kini akan berpanjangan.

"Apa yang harus dibina adalah kepercayaan antara satu sama lain, barulah entiti itu dapat menjadi satu entiti yang kukuh. Jika masih wujud perasaan syak wasangka, tuduh menuduh, politik dendam, kecewa dan sebagainya, selagi itu kita akan lihat perkara ini tidak ada penghujungnya.

"Bermakna kesemua kepimpinan harus menunjukkan satu perasaan kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan mereka, barulah boleh diangkat ke arah pengukuhan.

"Jika wujud beberapa kenyataan secara berterusan yang boleh melahirkan kebimbangan dan keresahan, itu akan menyebabkan sukar untuk mencari satu jalan penyelesaian bersama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata demikian seiring mesyuarat Muafakat Nasional yang dijangka dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam ini (Isnin).

Tambah beliau, mana-mana pemimpin yang terlibat pada mesyuarat malam ini harus mempunyai satu nada yang sama iaitu supaya tidak lagi wujud kenyataan-kenyataan yang boleh membimbangkan ahli-ahli UMNO, Pas dan Bersatu.