“Kenyataan saya telah disalah petik”

Itu penjelasan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi Astro AWANI hari ini bagi menjawab dakwaan kenyataan 'BN digantung sementara' semalam yang dipetik portal The Malaysian Insight.

Annuar berkata cadangan “penggantungan sementara BN” itu hanya ketika pilihan raya kecil (PRK) Balakong bulan depan.

“Rakan kita dalam MCA mahu menggunakan logo sendiri pada PRK Balakong. Jadi, tidak salah untuk kita beri ‘exemption’ atau ‘gantung BN sementara’ bagi memberi laluan kepada MCA guna logo sendiri.

“Saya tidak kata BN akan digantung kerana tiada perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku.

“Malah saya tidak mempunyai kuasa dalam BN untuk membuat keputusan seperti ini kerana saya cuma Setiausaha Agung UMNO,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga melahirkan rasa kecewa dengan laporan tersebut.

“Ramai yang marah dengan saya sekarang dan salah anggap. Saya rasa ini tidak adil buat saya,” katanya.

Bulan lalu, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ada kemungkinan untuk parti itu menggunakan logo sendiri semasa PRK Balakong.

Namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

PRK Balakong akan diadakan serentak dengan PRK Seri Setia pada 8 September ini manakala penamaan calon akan diadakan pada 18 Ogos.