Dakwaan bahawa Datuk Mah Siew Keong akan dilantik sebagai senator jika kalah pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan adalah tidak benar kerana nama calon Barisan Nasional (BN) itu tidak disenaraikan untuk mengisi jawatan itu.

Timbalan Presiden Gerakan, Dr Cheah Soon Hai hari ini menjelaskan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu beberapa bulan lepas mencadang nama calon lain bagi mengisi jawatan itu.

"Mah menolak untuk dicalonkan (sebagai senator), jadi persoalan bahawa Mah akan dilantik sebagai Senator tidak pernah timbul," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kempen DAP yang mendakwa jika calon DAP menang, penduduk di kawasan Parlimen Teluk Intan tidak akan rugi kerana calon BN boleh dilantik menjadi senator dan mempunyai suara di Parlimen.

Sementara itu, Mah dengan tegas mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak akan menjadi senator dan dua nama calon lain dicadangkan bagi mengisi jawatan itu.

"Sebagai presiden (Gerakan), sekali lagi, saya mahu katakan jika saya kalah, saya tidak akan jadi senator. Tidak kemasukan ikut jalan belakang bagi saya.

"Saya tidak mahu, saya sudah katakan, saya tidak mahu," tegasnya.

Mah berkata beliau mahu menjadi ahli Parlimen Teluk Intan bagi memudahkannya membantu penduduk kawasan itu.

"Saya mahu menjadi anggota Parlimen kerana saya rasa banyak yang saya boleh lakukan bagi membantu penduduk Teluk Intan. Saya mahu mewujudkan tabung bagi membantu golongan miskin, ibu tunggal serta golongan kurang upaya. Itulah harapan saya untuk penduduk Teluk Intan," katanya.

PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.