POLITIK
GRS optimis kerjasama dengan PH diteruskan pada PRN Sabah akan datang - Naib Presiden PGRS

Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, yang juga Presiden PGRS, sedang melakukan usaha strategik bagi memastikan kerjasama berterusan gabungan itu dengan PH semasa dan selepas pilihan raya. -Gambar fail/BERNAMA
LABUAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) optimis bahawa kerjasama politiknya dengan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ringkasan AI
- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sedang mengatur strategi dan akan membuat pengumuman rasmi mengenai kerjasama tersebut.
- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Labuan sedang menggerakkan jentera parti untuk membantu kempen PRN di Sabah.
Beliau berkata PGRS Labuan akan memainkan peranan sokongan yang penting semasa kempen PRN terutama dengan mendekati pengundi Sabah yang menetap di Labuan.
"Antara usaha penting ialah pembukaan bilik gerakan di Labuan khususnya bagi menyelaras sokongan untuk calon PGRS.
"Kami mahu jentera PGRS Labuan menyumbang dengan menggerakkan ahli untuk membantu di kawasan strategik di seluruh Sabah," katanya.
Mohd Arifin, yang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, turut memuji komitmen akar umbi yang ditunjukkan oleh Bahagian Labuan serta menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dan momentum ketika menghadapi PRN.
PRN Sabah dijangka diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan usaha berterusan yang dilakukan oleh gabungan parti pemerintah untuk memperkukuh sokongan dan mempertahankan kedudukannya di Dewan Undangan Negeri.
Baru-baru ini, Hajiji mengesahkan bahawa kerjasama antara GRS dan PH adalah berlandaskan matlamat tadbir urus bersama dan komitmen terhadap kestabilan politik di Sabah.
Beliau berkata kedua-dua gabungan telah membuktikan bahawa kerjasama yang dijalin membawa hasil yang positif kepada rakyat dan ia adalah penting bagi memastikan pembangunan serta perpaduan yang berterusan di negeri itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami