Skip to main content

Politik

GRS terima permohonan UPKO sebagai parti komponen baharu - Hajiji

KOTA KINABALU, 18 Jun -- Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara bersetuju menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti anggota baharu gabungan itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS memandangkan permohonan UPKO selari dengan matlamat memperkukuh gabungan serta kedudukan parti tempatan dalam Kerajaan Negeri Sabah.

“Penerimaan UPKO sejajar dengan perjuangan GRS iaitu ‘Sabah United’ dan ‘Sabah First’ bagi memberi kekuatan kepada parti-parti tempatan, selain mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Tan Sri Liew Yun Fah.

UPKO secara rasmi mengemukakan permohonan menyertai GRS pada 29 Mei lepas yang diserahkan oleh Presidennya Datuk Ewon Benedick kepada Hajiji.

Kemasukan UPKO menjadikan GRS kini dianggotai enam parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), PBS, LDP, PHRS dan PCS.

Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi usaha memperkemas jentera parti di semua kawasan Parlimen di negeri itu.

Bagi tujuan itu, beliau berkata GRS melantik semua presiden parti komponen untuk mengetuai enam zon yang bertanggungjawab melaksanakan naziran serta memantau laporan persediaan bahagian di kawasan masing-masing.

Hajiji yang juga Presiden PGRS akan mengetuai Zon Satu meliputi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran manakala Masidi dilantik sebagai pengerusi Zon Dua melibatkan Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang serta Putatan.

Zon Tiga merangkumi Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang diketuai Anifah manakala Joachim mempengerusikan Zon Empat melibatkan Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.

Chin pula mengetuai Zon Lima (Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan) manakala Zon Enam yang meliputi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu serta Semporna diterajui  Liew.

“Walaupun tempoh Parlimen hanya akan berakhir hujung tahun hadapan, kita di Sabah mesti bersedia awal,” katanya sambil menambah GRS berhasrat meletakkan calon di semua 25 kerusi Parlimen serta di Labuan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement