Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diminta untuk berhenti dari membuat dakwaan tidak berasas kononnya kerajaan persekutuan tidak memberikan sebarang peruntukan untuk negeri ini dalam Bajet 2016.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata berkemungkinan besar Lim tidak meneliti dokumen Bajet 2016 yang disediakan oleh kerajaan persekutuan kepada semua anggota Parlimen.

"Semasa ucapan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt lepas, sebagaimana pembentangan bajet oleh Lim sendiri, perdana menteri tidak menyentuh atau menyebut secara terperinci setiap butiran agihan peruntukan yang terkandung dalam bajet yang dibentangkannya,"

"Hanya perkara-perkara yang menjadi titik sentuh disebut dalam ucapan pembentangan bajet," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis, Zainal Abidin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 begi negeri Pulau Pinang, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM5.7 bilion bagi melaksanakan 144 projek melibatkan 81 projek baharu dan 63 projek sambungan meliputi kemudahan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, peluang pelaburan, peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Untuk tempoh rancangan boleh pinda pertama (RP1 2016) sebanyak RM768 juta telah diperuntukkan. Bagi membangunkan kemudahan logistik, RM242.50 juta diperuntukkan untuk pembinaan projek jalan baharu dan sambungan yang melibatkan jalan persekutuan dan negeri.

"Selain itu sebanyak RM125.68 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan sekolah baharu dan bangunan tambahan termasuk projek sambungan sekolah," kata Zainal Abidin.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata kerajaan persekutuan meneruskan pembiayaan pada 2016 untuk sektor kesihatan antaranya pembinaan kuarters baharu, blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang, pembinaan blok bertingkat di Hospital Seberang Jaya serta Klinik Kesihatan di bandar Perda.

"Peruntukan RM50.3 juta disediakan untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah antaranya pangsapuri kos sederhana rendah di Butterworth, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Tok Suboh, Bukit Minyak,"

"Selain itu 33,943 unit rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik akan dibina oleh Jabatan /Agensi Persekutuan di Pulau Pinang seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)," tambahnya.

Zainal Abidin berkata semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Barisan Nasional (BN) menawarkan banyak perkara jika diberi kepercayaan untuk kembali mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang antaranya 9,999 unit rumah mampu milik, taraf pelabuhan bebas dan sistem pangangkutan LRT atau Monorel namun malangnya majoriti pemilih di negeri ini memilih DAP sebagai kerajaan.

"Oleh kerana ia adalah pilihan majoriti pemilih Pulau Pinang, maka Lim Guan Eng tidak boleh mengungkit kononnya BN atau perdana menteri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat untuk Pulau Pinang, "katanya.